Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, berharap anak buahnya mampu meneruskan momentum dalam pusingan kedua Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Gem in Mall, Cyberjaya mulai Jumaat ini.

"Saya berharap mereka mampu mengekalkan rentak dalam baki sembilan perlawanan.

"Usaha sedang dilakukan untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan yang masih ada, " katanya.

Ismi gembira dengan persembahan pemain Bison yang berjaya mengutip 12 mata selepas sembilan perlawanan.

"Pemain mencipta dua kemenangan di minggu keempat untuk meletakkan pasukan di kedudukan baik.

"Saya berharap mereka berupaya mengulangi persembahan mantap seperti dalam dua perlawanan itu," ujarnya.

Jurulatih itu mengakui kehadiran tekong baru, Natthawut Naewprom, membawa perubahan drastik kepada Bison dalam minggu keempat.

Naewprom, 29, menyertai Bison sejak 28 September lalu selepas membantu pasukannya, Navy Thailand, menjuarai Liga Thai.

"Dia tengah bersemangat tinggi selepas menjulang gelaran di negara asalnya dan diharap meneruskan kecemerlangannya dalam STL pula.

"Bison beruntung memiliki khidmat Naewprom," tambahnya.