Juara bertahan Liga Sepak Takraw (STL), Penang Black Panthers, bermula langkah kanan dalam saingan musim ini selepas menewaskan Negeri Sembilan Antlers 2-0 dalam perlawanan pembukaan di Stadium MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Tanpa kelibat bekas pemain kebangsaan, Syahir Rosdi, Black Panthers yang diwakili trio diketuai Zarif Marican selaku tekong, Zaim Razali sebagai feeder dan Azlan Alias yang bertindak sebagai perejam mempamerkan aksi terbilang berdepan Negeri Sembilan Antlers.

Tanpa tekanan, Black Panthers tampil dengan aksi mantap dalam set pertama dengan penguasaan gelanggang dan walaupun lawan cuba menghadirkan tentangan, skuad kendalian Helmi Ismail itu mendominasi set pertama menerusi kemenangan 21-19.

Tekong import Negeri Sembilan, Wirawut Na Nongkhai, yang menjadi harapan pasukan cuba bangkit menerusi gandingannya dengan Syazreen Qamar Salehan dan Hafizul Hayazi dalam set kedua tetapi jelas anak buah Helmi lebih hebat dengan menoktahkan set kedua menerusi kemenangan 21-12.

Sementara itu, Kuala Lumpur Thunder -- yang turun beraksi sejurus pertemuan Penang Black Panthers dan Negeri Sembilan Antlers -- tidak berdepan masalah untuk mencipta kemenangan mudah 2-0 ke atas Terengganu Turtles.

KL Thunder yang dibarisi Norhafizi Razak, Aizat Azmi dan Amirul Zazwan Amir tidak memberi ruang kepada Turtles yang mempertaruhkan Hasmadi Wahab, Amar Roslan dan Alif Mursyid.

Lebih ampuh sebaik perlawanan bermula, skuad Thunder itu jelas bijak mengawal gelanggang dan sering membalas asakan Terengganu sebelum mengakhiri set pertama 21-15 dalam tempoh 21 minit.

Turtles cuba mencipta kebangkitan dalam set kedua, namun kelihatan semakin kehilangan rentak permainan dan kesilapan mudah yang kerap dilakukan membolehkan Thunder akhirnya mencatat kemenangan 21-9 selepas hanya 13 minit.

Kredit foto: STL