Ahmad Ismail: STL ikut tetapan ISTAF

Oleh Staff Writer 8 September 2019 305
Ahmad Ismail: STL ikut tetapan ISTAF
Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memberi jaminan gelanggang bagi penganjuran liga kebangsaan mematuhi piawaian yang ditetapkan Persekutuan Sepak Takraw Antrabangsa (ISTAF).

Sabtu lalu, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, mengeluarkan kenyataan berhubung gelanggang Liga Sepak Takraw (STL) dan antara isu yang dibangkitkan adalah perubahan warna gelanggang yang diubah daripada warna merah yang sering digunakan dalam saingan kompetitif antarabangsa.

Perkara kedua adalah isu spesifikasi gelanggang yang didakwa tidak mematuhi syarat ditetapkan badan induk dunia itu.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, bagaimanapun, tampil memberikan penjelasan.

"Permukaan gelanggang hitam dan kuning, ini adalah warna PSM dan menjadi identiti kami. Hasrat yang lama terpendam telah dapat kami zahirkan. Saya sudah menyemak, undang-undang permainan ISTAF perkara 1.1 sehingga 1.4, ia tidak menyebut tentang warna. Kami pasti segala ukuran di sini mengikut kehendak ISTAF, tiada masalah," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen