Tindakan berani ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, menggunakan formasi baru 3-2-3-2 membuahkan hasil apabila jentera serangan Malaysia garang ketika menewaskan Poland 5-1 dalam aksi pembukaan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019, semalam.

Formasi baru itu menyaksikan Malaysia lebih memberi tumpuan terhadap jentera serangan.

Ternyata, pemilihan pemain muda dengan kelebihan stamina memudahkan misi di Stadium Azlan Shah itu yang dipenuhi 8,000 penonton.

Pujian buat penyerang, Faizal Saari, yang mencipta hatrik selain Fitri Saari dan Ashran Hamsani yang turut mencatat nama sebagai penjaring.

Apa yang penting, pemain nampak semakin selesa dengan formasi baru itu untuk memburu sasaran ke final edisi ke-28 ini.

"Kami dapat menyaksikan aksi cemerlang daripada pemain-pemain muda serta jentera serangan yang cemerlang dalam perlawanan ini. Saya berasakan terdapat ruang untuk diperbaiki lagi sebelum perlawanan seterusnya," kata Oltmans.

Poland meraih gol sagu hati menerusi Michal Kasprzyk pada minit ke-30.

Faktor tidak cukup rehat kerana baru tiba Jumaat lalu menyukarkan misi Poland menambah jaringan.

"Kami sepatutnya berada di Malaysia sekurang-kurangnya lima hari lebih awal untuk menyesuaikan diri. Saya agak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Poland dalam perlawanan ini.

"Kami dihidangkan peluang untuk menjaringkan gol lebih awal daripada Malaysia tetapi gagal melunaskannya," kata jurulatih Poland, Karol Sniezek.