Penjaga gol skuad hoki India, Sreejesh Parattu, berdepan tugas berat untuk menghalang penyerang negara, Faizal Saari, yang berada di tahap terbaik menjelang aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak, malam ini.

Kubu India paling kebal setelah hanya bolos satu gol selepas dua perlawanan.

Pujian wajar diberikan kepada Sreejesh yang sudah mencipta nama sebagai antara penjaga gol terbaik dunia.

Namun, tugasnya malam ini pasti mencabar kerana dia akan berdepan jentera serangan Malaysia yang diketuai Faizal -- yang telah meledak lima gol.

"Biarpun kami dalam situasi menyerang, kami juga perlu berhati-hati dengan serangan balas lawan.

"Ketika ini, kami lebih gemar memberikan pendedahan buat penjaga gol muda agar mereka mempunyai lebih pengalaman untuk memberikan aksi terbaik pada masa depan," katanya

Malaysia menghimpunkan sembilan gol selepas menewaskan Poland (5-1) dan Jepun (4-3) dalam dua perlawanan pertama.

Selain Faizal, turut mencetak nama sebagai penjaring ialah pemain tengah, Ashran Hamsani, Nik Aiman Nik Rozemi, Fitri Saari dan pertahanan, Razie Abdul Rahim.

Sreejesh, yang akrab dengan penjaga gol negara yang direhatkan ekoran kecederaan, S. Kumar, turut mendoakan agar penjaga gol utama negara itu segera pulih bagi menghadapi Kejohanan Final Siri Hoki Dunia bulan depan, yang turut menawarkan slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sudah pasti, Kumar seperti abang kepada saya.

"Apabila saya berada di Malaysia, saya pasti akan bertemu dengannya.

"Malangnya, dia terlepas aksi kejohanan ini dan saya mendoakan agar dia segera sembuh," tambahnya.