Tonggak pertahanan hoki negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, bersedia memberikan semula lilitan kapten kepada Sukri Mutalib, namun tertakluk kepada perancangan pengendali kebangsaan, Stephen Van Huizen, untuk kempen Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan.

Razie kembali beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah tahun ini selepas diketepikan tahun lalu ekoran terikat dengan kursus asas latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lebih menarik, dia diberikan peranan sebagai kapten selepas Sukri diketepikan kerana mengalami kecederaan paha.

Sepanjang mengemudi rakan sepasukan di atas padang dalam kempen kali ini, Razie beraksi baik di barisan pertahanan selain menjaringkan hatrik ketika perlawanan pembukaan menentang Ireland.

Kini, setelah tamat saingan di Ipoh, Perak, Razie menyerahkan perancangan kepada Van Huizen sekiranya mahu memberikan semula lilitan kapten kepada Sukri.

"Lilitan kapten itu tidak memberikan apa-apa kerana di belakang saya masih ada beberapa pemain lain. Sesiapa yang menyarungnya tidak menjadi masalah kerana kami saling membantu antara satu sama lain," katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini Sukri masih dalam tempoh pemulihan dan Van Huizen sendiri masih memerlukan masa untuk menilai tahap kecergasan barisan pemainnya sebelum mengumumkan senarai penuh skuad ke Gold Coast.

Malaysia hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk kembali memperbaiki segala kelemahan sebelum berlepas ke Gold Coast pada 26 Mac.

"Untuk Sukan Komanwel, kami akan berdepan lawan sama, jadi kejohanan kali ini memberikan banyak maklumat buat kami.

"Semua pemain perlu mengenal pasti setiap aspek dan mempersembahkan aksi terbaik di Gold Coast nanti."