Aksi konsisten dituntut oleh ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, daripada anak buahnya sepanjang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 yang bermula di Ipoh hari ini.

Selepas menjalani latihan pusat serta mengadakan perlawanan persahabatan dengan Korea Selatan dan India, Oltmans mahu melihat anak didiknya menunjukkan kemampuan masing-masing dalam pertandingan sebenar.

"Jika berupaya beraksi secara konsisten dan mengikut kemampuan sebenar, kami boleh bermain hoki yang baik tetapi ia juga boleh menjadi sebaliknya.

"Ini yang ingin saya tengok sangat," ujarnya yang berharap anak buahnya membuat permulaan baik dalam perlawanan pembukaan bertemu Poland, malam ini.

Menurut jurulatih itu, latihan singkat serta kehadiran tujuh pemain yang tidak berada dalam skuad Piala Dunia 2018 adalah cabaran kepada skuad bimbingannya.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan persembahan pemain dalam latihan dan perlawanan persahabatan.

"Bagaimanapun, aksi persahabatan tidak boleh dijadikan kayu pengkur kerana apa yang penting ialah persembahan semasa kejohanan sebenar," katanya.

Enam pasukan dalam kejohanan edisi ke-28 itu ialah India, Korea Selatan, Kanada, Poland, Jepun serta Malaysia.

Ketiadaan pasukan gergasi hoki dunia seperti Australia dan New Zealand untuk edisi kali ini dilihat peluang terbaik untuk pasukan tuan rumah menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama.

Oltmans, bagaimanapun, tidak menghiraukan harapan tinggi umum kerana yang penting ialah anak buahnya menunjukkan peningkatan menjelang Kejohanan Siri Hoki Akhir 2019 di Kuala Lumpur dari 26 April hingga 4 Mei depan.

Juara dan naib juara Siri Hoki Akhir 2019 akan melayakkan diri ke saingan Kelayakan Sukan Olimpik 2020.