Aksi pembukaan Piala Sultan Azlan Shah 2019 menentang Poland malam ini akan membuktikan adakah perubahan formasi 3-2-3-2 yang diterapkan ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans, lebih sesuai untuk Malaysia atau sebaliknya.

Perubahan taktikal mula membuahkan hasil apabila Malaysia menewaskan India 3-0 dalam aksi persahabatan, Khamis lalu.

Bagaimanapun, adakah ia berkesan untuk meraih kemenangan sulung di Stadium Hoki Azlan Shah, sekali gus keluar daripada bayangan formasi 4-3-3 yang sudah sinonim dengan Malaysia sejak berdekad lalu?

"Jika tidak dapat mengadaptasi formasi ini, kadangkala kami tidak akan berada di tahap yang saya inginkan. Jadi, saya juga ingin tahu sejauh mana pasukan mampu mendapatkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan. Pada saya, ia salah satu perkara paling penting," kata Oltmans.

Malaysia akan turun sebagai pilihan untuk menang, apatah lagi Poland yang baru tiba di Ipoh semalam sedang menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca, waktu dan rekod buruk menentang Malaysia.

Pasukan di ranking ke-21 dunia itu tewas 0-8 dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada 2015 dan pastinya ia mimpi ngeri kepada sesetengah pemain yang masih bersama pasukan berkenaan.

"Kami kurang konsentrasi dalam perlawanan lalu, kurang bertenaga. Sudah pasti cuaca di Singapura tidak jauh berbeza dengan di sini.

"Kami akan pastikan aksi yang lebih baik dalam kejohanan ini. Besar kemungkinan bagi merebut kedudukan terbaik, jadi kami akan lakukan yang terbaik," kata penjaga gol Poland, Maciej Pacanowski.

Rekod pertemuan Malaysia-Poland

2015: Malaysia 8 Poland 0 (pusingan kedua Liga Dunia)
1998: Malaysia 1 Poland 1 (Piala Dunia)
1975: Malaysa 3 Poland 1(Piala Dunia)