Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, meletakkan Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019 di Ipoh, Mac depan.

Kejohanan edisi ini merupakan peluang terbaik Malaysia untuk muncul juara memandangkan pasukan gergasi lain memilih untuk menyertai liga profesional anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada waktu yang sama.

Berdasarkan ranking dunia, skuad kendalian Oltmans itu diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan selepas India dan Kanada.

Namun, Oltmans tidak mahu menambah tekanan kepada pemainnya.

"Berdasarkan ranking dunia, kami bukanlah dua pasukan terbaik.

"Jika anda mahukan kami ke final, kami perlu melakukannya dengan lebih baik memandangkan kami juga mahu ke final.

"Perkara lebih penting akan tiba selepas sebulan kejohanan itu berlangsung.

"Kami perlu layak ke kelayakan kedua Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ia lebih penting berbanding PSAS walaupun saya mahu memenangi setiap kejohanan yang disertai," katanya.

Selepas PSAS, Malaysia akan menyertai Kejohanan Final Siri Hoki Dunia pada April yang menawarkan dua tiket ke Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik hujung tahun ini.