Skuad hoki negara berdepan risiko kehilangan khidmat S. Kumar dalam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bulan depan selepas penjaga gol berpengalaman itu diminta menjalani ujian "magnetic resonance imaging" (MRI) ekoran kecederaan paha.

Kumar mengalami kecederaan itu ketika membantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) menewaskan TNB Thunderbolts 8-0 dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Jumaat lalu.

Kecederaan itu memaksa dia direhatkan ketika TNB menewaskan Maybank 7-2, semalam.

Kumar menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN), namun diminta menjalani ujian MRI di hospital bagi mengenal pasti tahap kecederaannya.

Situasi itu bermakna dia berdepan risiko terlepas kejohanan PSAS di Ipoh, Perak, yang bermula 23 Mac depan.

"Saya amat berharap hanya ditimpa kecederaan ringan, bukannya kecederaan jangka masa panjang.

"Saya berharap dapat diturunkan dalam aksi TNB yang seterusnya, iaitu aksi separuh akhir Piala TNB dalam tempoh seminggu lagi.

"Amat penting untuk saya beraksi baik bersama TNB sebelum kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk mengharungi kempen PSAS dan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Malaysia memiliki penjaga gol simpanan, Hairi Abdul Rahman dan Mohd Hafizuddin Othman.

Misi penting tahun ini adalah untuk melepasi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula dengan Kejohanan Final Siri Hoki Dunia di Bukit Jalil, April depan.