Tuan rumah, Malaysia, berpeluang menjuarai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) Kke-28 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh dari 23 hingga 30 Mac depan.

Ia berikutan ketiadaan pasukan-pasukan elit seperti juara 10 kali, Australia, di samping pencabar hebat termsuk New Zealand, Belgium, Great Britain dan Pakistan.

Pasukan-pasukan itu terlibat dalam kejohanan Liga Profesional 2019 anjuran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dari 19 Januari hingga 30 Jun ini.

Sembilan pasukan akan menyertai kejohanan yang kali pertama dianjurkan itu termasuk Argentina, Jerman, Belanda dan Sepanyol.

India turut dijemput tetapi menarik diri.

Sebaliknya, Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh akan disertai enam pasukan, iaitu juara Asia, Jepun, India, Kanada, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PSAS, Datuk Abd Rahim Md Ariff, yakin harapan skuad negara untuk muncul juara buat kali pertama cerah berikutan ketiadaan pasukan handalan dunia yang lain.

Beliau juga yakin kemeriahan kejohanan tidak akan terjejas kerana disertai oleh pasukan ranking kelima dunia, India, Kanada (10), Afrika Selatan (16), Korea (17) dan Jepun (18).

"Kejohanan ini pentas pasukan hoki negara menebus kehampaan tumpas kepada Jepun dalam perlawanan akhir Sukan Asia di Palembang, tahun lalu.

"Kami sememangnya tidak berpuas hati dengan cara kekalahan pasukan negara di tangan Jepun dan berharap ia mampu ditebus," katanya mengimbau kekalahan menerusi penentuan pukulan penalti dalam final Sukan Asia itu walaupun mendahului 4-2 menuju ke penghujung perlawanan.