Pertemuan India dengan Jepun akan menyingkap tirai kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-28 di Stadium Sultan Azlan Shah , Ipoh, 23 hingga 30 Mac ini.

Perlawanan itu akan berlangsung pada jam 4.05 petang hari pertama dan diikuti perlawanan di antara Kanada dan Korea Selatan pada jam 6.05 petang.

Tuan rumah, Malaysia, akan membuka kempen kejohanan enam pasukan itu dengan bertemu Afrika Selatan pada jam 8.35 malam hari yang sama.

Setiausaha Jawatankuasa Pengelola PSAS, M. Selvakumaran, berkata jadual perlawanan itu telah disahkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Segala persiapan sedang dibuat bagi memastikan kejohanan jemputan antarabangsa tahunan itu berjalan lancar.

Edisi kali ini seakan-akan hilang seri apabila juara 10 kali, Australia, New Zealand, Belgium, Great Britain dan Pakistan tidak turut serta kerana terbabit dalam kejohanan FIH Pro-League 2019 anjuran FIH dari 19 Januari lalu hingga 30 Jun depan.

Selvakumaran, bagaimanapun, yakin kemeriahan kejohanan itu tidak terjejas kerana pasukan yang bertanding juga memiliki kualiti tersendiri.

"Penonton boleh mengharapkan perlawanan bermutu tinggi dan menarik sepanjang kejohanan itu nanti," katanya.