Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, mempertahankan prestasi anak buahnya yang mempamerkan semangat juang tinggi walaupun tewas 2-4 kepada India dalam perlawanan ketiga Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, semalam yang menjejaskan peluang mereka ke final.

Tiada apa perlu yang perlu dikesalkan Malaysia selepas memberikan tentangan sengit sepanjang 60 minit perlawanan.

Pemain negara kerap melancarkan serangan balas, namun sukar menembusi kubu India sama ada menerusi gerakan padang atau pukulan sudut penalti.

Apa yang menjadi pemisah adalah India bijak mengambil peluang terhidang untuk meraih kemenangan kedua mereka dalam kejohanan itu.

"Kami memperoleh deretan peluang dalam suku terakhir, namun gagal memanfaatkan peluang yang tiba.

"Itu yang diperlukan kami untuk memenangi perlawanan, namun kami gagal melakukannya.

"Jaringan terakhir mereka tiba ketika kami cuba memberikan tekanan penuh bagi menyamakan kedudukan pada lewat permainan," katanya

Dalam aksi berkeamatan tinggi di Ipoh itu, jaringan skuad negara disumbangkan Razie Abdul Rahim dan Firhan Ashaari manakala India pula unggul dengan jaringan Sumit, Sumit Kumar, Varun Kumar dan Mandeep Singh.

"Setiap pasukan di dunia pasti berasakan mereka lebih baik berbanding lawan mereka.

"Setiap pasukan pasti akan mengkaji kekuatan lawan.

"Kami menggunakan setiap ruang untuk menjaringkan gol dan Malaysia juga melakukan perkara sama ke atas kami.

"Ia menunjukkan mereka benar-benar sudah mengenali corak permainan dan dan pemain kami.

"Terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, namun saya gembira kerana kami masih dapat menghasilkan gol padang," kata ketua jurulatih India, David John.