Pemain tengah skuad hoki negara, Meor Azuan Hassan, lulus ujian penting apabila memakai lilitan kapten buat kali pertama dalam karier ketika Malaysia menewaskan Jepun 4-3 untuk kekal di takhta saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019.

Malaysia bangkit mengatasi Jepun 4-3 dalam aksi kedua saingan PSAS kali ini selepas meraih kemenangan 5-1 ke atas Poland dalam aksi pembukaan.

Ia merupakan kali pertama Meor Azuan mengetuai skuad negara dan ia merupakan satu kenangan yang berharga di samping berharap Malaysia meneruskan momentum bagi meraih kejuaraan sulung dalam edisi kali ini.

"Saya bersyukur kerana meraih kemenangan ketika bertindak selaku kapten pasukan negara. Saya agak gugup tetapi berjaya mengatasinya dan sangat gembira di atas keputusan ini," katanya.

"Jurulatih negara, Roelant Oltmans, telah menetapkan empat ketua dalam skuad negara dan dalam setiap perlawanan, empat daripada kami akan diberikan tugas untuk mengetuai pasukan.

"Untuk aksi seterusnya berdepan India, kemenangan akan mencerahkan peluang kami untuk melangkah ke final, sekali gus memburu kejuaraan pertama negara dalam saingan ini."