Dua pemain tengah skuad hoki negara, Fitri Saari dan Meor Azuan Hassan, ditimpa kecederaan dalam sesi latihan terakhir hari ini, namun mereka tetap komited untuk diturunkan ketika menentang India dalam aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, malam ini.

Meor Azuan dan Fitri merupakan tonggak penting dalam dua perlawanan terdahulu.

Bagaimanapun, Meor Azuan ditimpa kecederaan belakang manakala Fitri pula bergelut dengan kecederaan lutut menjelang aksi penting berdepan India itu.

"Kecederaan ini tidak akan menghalang saya untuk diturunkan dalam perlawanan menentang India.

"Setakat ini, ia tidak mengganggu permainan saya dan saya akan memberikan yang terbaik dalam aksi itu nanti," kata Meor Azuan.

Fitri pula menganggap skuad negara perlu bersedia dengan sebaik-baiknya sebelum menghadapi India dan setiap kecederaan kecil yang dialami perlu diuruskan dengan sebaik mungkin.

"Kami perlu menguruskannya dengan baik memandangkan India bukan tentangan yang mudah.

"Setiap pemain perlu bersedia 100 peratus dan setiap kecederaan kecil perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya.

"Apa yang penting kami mendapatkan tiga mata.

"India merupakan kuasa besar hoki dunia dan kami perlu bekerjasama sebagai satu pasukan demi memberikan tentangan hebat kepada mereka," katanya.