Kapten skuad hoki negara, Marhan Abdul Jalil, tidak mahu rakan sepasukannya hanyut dalam emosi membalas dendam -- selepas tewas kepada Jepun dalam final Sukan Asia tahun lalu -- menjelang aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), di Ipoh, Perak, malam ini.

Kemenangan dalam perlawanan itu akan menentukan peluang Malaysia mencapai sasaran ke final.

Pemain negara masih terkesan dengan kekalahan 1-3 menerusi penentuan penalti kepada Jepun yang menjejaskan peluang Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, pertemuan malam ini sesuatu yang berbeza kerana kedua-dua pasukan lebih memilih untuk menguji pemain muda.

Apa yang penting, setiap pemain perlu mengikuti arahan ketua jurulatih, Roelant Oltmans, biarpun hasrat membalas dendam mereka masih membara.

"Kami perlu melupakan apa yang telah terjadi sebelum ini.

"Sebagai pemain negara, kami perlu meletakkan taraf sukan hoki di Malaysia ke tahap tertinggi.

"Kekalahan lalu tidak boleh menjadi penyebab kepada kegagalan kami," katanya.

"Kami akan berdepan dua pasukan handalan Asia dalam perlawanan akan datang.

"Kami perlu bersiap sedia dengan sebaik-baiknya menjelang dua perlawanan itu," tambah Oltmans.

Jepun, yang tidak membawa kapten pasukan, Kenta Tanaka, ke Ipoh, tewas 0-2 kepada India dalam aksi pertama semalam.

Namun, sebahagian besar pemain Sukan Asia 2018 masih dikekalkan, termasuk penjaring gol kemenangan penentuan penalti, Kazuma Murata, yang baru meraikan penampilannya yang ke-100 ketika berdepan India.

"Malaysia hebat sewaktu di Darwin, apatah lagi bermain di tempat sendiri.

"Pertahanan kami perlu bersiap sedia untuk menghalang mereka, terutama menerusi pukulan sudut penalti," katanya.