Program latihan di bawah kendalian bekas pakar pukulan sudut penalti Belanda, Taeke Takema, jelas membuahkan hasil apabila Malaysia menjaringkan separuh daripada lapan peluang, terutama daripada penyerang negara, Faizal Saari, yang mencipta hatrik ketika menewaskan Poland 5-1 dalam perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh semalam.

Faizal dijulang selaku pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan hatrik yang ketiga-tiganya melalui pukulan sudut penalti.

Ia membuktikan keberkesanan latihan di bawah Taekema dan bagi Faizal, keperincian dalam teknik asas melakukan pukulan sudut penalti itu membantunya dalam menyudahkan gerakan tersebut.

"Ia sedikit-sebanyak membantu saya dan pemain lain.

"Dalam perlawanan ini, kami membuktikan ia amat berkesan.

"Sebelum ini, kami menguatkan teknik asas mengambil gerakan itu dan ia membantu saya menghasilkan tiga gol.

"Lebih banyak kami memperoleh pukulan sudut penalti lebih bagus memandangkan kami akan memperoleh peluang untuk menjaringkan gol," katanya.