Kecederaan otot paha kanan menjadi mimpi ngeri buat penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, ketika keinginannya untuk turun ke padang masih membuak-buak untuk menyertai aksi terakhir Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bulan depan.

Koyakan sepanjang 7.5 sentimeter di bahagian otot paha kanan Kumar dijangka memerlukan masa dua bulan untuk pulih sepenuhnya.

Dia bernasib baik kerana sekiranya otot itu putus, dia mungkin memerlukan masa sekurang-kurangnya setengah tahun untuk pulih.

"Saya tidak menjangkakan kecederaan saya akan menjadi seteruk ini.

"Ia perkara yang akan terjadi dalam perlawanan apabila setiap pemain berusaha untuk memberikan 100 peratus.

"Kecederaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dijangka dan saya agak terkejut apabila mendapat tahu koyakan tersebut sebesar itu.

"Saya agak kecewa kerana tidak dapat menamatkan musim bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam LHM dan terlepas saingan PSAS.

"Namun, apakan daya, saya perlu menjalani proses pemulihan agar dapat pulih secepat mungkin," katanya.

Sebagai rekod, ia merupakan kali ketiga Kumar terlepas saingan PSAS akibat kecederaan.

Dia, bagaimanapun, tetap mendoakan kejayaan skuad negara dalam edisi kali ini.

"Saya mendoakan yang terbaik buat mereka.

"Bagi saya, PSAS hanya merupakan persiapan untuk mereka menghadapi kelayakan Sukan Olimpik tidak lama lagi.

"Skuad negara pasti dapat memanfaatkan aksi di laman sendiri dan mereka juga mempunyai pengganti penjaga gol yang baik.

"Mereka pasti akan memberikan persembahan terbaik dan saya sentiasa mendoakan kejayaan mereka," tambahnya.