Penjaga gol utama skuad negara, S. Kumar, tidak pernah terfikir untuk mengibar bendera putih walaupun mengalami kecederaan serius ketika pasukan kebangsaan memerlukan khidmatnya dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah bulan depan serta Kejohanan Hoki Siri Dunia 2019 April depan.

Apa yang berlaku adalah kali ketiga penjaga gol berpengalaman itu terlepas aksi Piala Sultan Azlan Shah apabila turut berdepan kecederaan di pangkal paha pada 2016 selain dihimpit kes positif doping tahun lalu.

Walaupun terkilan, Kumar enggan mengalah awal kerana menganggap dirinya masih bernasib baik tidak perlu melakukan sebarang pembedahan, sebaliknya fokus kepada proses pemulihan selama dua bulan.

Ternyata Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih menjadi impian utama penjaga gol berusia 39 tahun itu selagi kudratnya tetap mampu untuk berkhidmat kepada skuad negara.

"Selagi saya berkemampuan untuk terus beraksi, memberikan yang terbaik dan pasukan perlukan saya, sudah tentu saya akan teruskan. Apa yang penting adalah usaha ketika sesi latihan dan bukan terus beraksi dalam perlawanan," kata Kumar.

Dia percaya skuad kebangsaan tidak akan pincang tanpanya di pentas Piala Sultan Azlan Shah edisi kali ini kerana dua lagi penjaga gol, Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman, ibarat penyelamat kepada situasi yang menimpanya ketika ini.

"Selain daripada saya, semestinya ada Hafizuddin dan Hairi serta penjaga gol muda yang lain. Saya rasa mereka berbakat dan boleh beraksi dengan baik. Ia juga mampu menghadirkan pengalaman," tambah Kumar.

"Sebelum ini, banyak kejohanan yang sudah mereka sertai dan saya rasa mereka mampu menyinar dalam Piala Sultan Azlan Shah."