Kemahiran menggelecek penyerang muda skuad hoki negara, Azrai Aizad Abu Kamal, sekali lagi akan ditagih untuk menjerat Jepun dalam perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, malam ini, selepas dia merupakan antara dua pemain yang cemerlang dalam penampilan antarabangsa pertamanya ketika membenam Poland, malam tadi.

Azrai dan pemain pertahanan, Arif Syafie Ishak, lulus ujian pertama mereka.

Tumpuan lebih kepada Azrai yang beberapa kali mempamerkan kemahiran menggelecek yang menghiburkan penonton di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah walaupun sebelum ini hanya bertindak sebagai pengutip bola dalam dua edisi terdahulu.

"Saya agak berpuas hati, namun perlu melakukan yang lebih baik dalam perlawanan akan datang memandangkan saya berasa agak gugup pada awal permainan.

"Jika saya dapat mengatasi situasi itu, saya pasti dapat melakukannya dengan lebih baik," katanya.

"Saya bersyukur kerana dapat menjalankan tanggungjawab kami dengan sebaik-baiknya dalam perlawanan pertama.

"Alhamdulillah, kami berjaya meraih kemenangan dan Insya-Allah saya akan mencuba lagi selepas ini," kata Arif Syafie pula.

Tidak mustahil untuk mereka berdua menjaringkan gol malam ini, terutama Azrai, yang beberapa kali mendapatkan pukulan sudut penalti buat Malaysia.