Skuad hoki negara perlu berwaspada dengan kelibat tiga pemain Korea Selatan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 yang diketuai Jang Jong-hyun apabila gabungan mereka meledak sembilan daripada 10 gol buat Korea dalam Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak, malam ini.

Selain Jong-hyun, dua lagi pemain Korea yang beraksi dalam LHM ialah pemain tengah, Jung Man Jae dan Lee Nam-yong.

Tumpuan pasti terarah kepada Jong-hyun selepas pertahanan Terengganu Hockey Team (THT) itu muncul penjaring terbanyak LHM 2019 dengan 25 gol.

Dia memiliki tolakan padu pukulan sudut penalti untuk menghimpunkan empat gol dalam kempen di Ipoh, kurang satu gol berbanding pendahulu penjaring terbanyak, Faizal Saari.

"LHM banyak membantu saya tetapi kali ini ada tugas untuk negara.

"Ia pasti perlawanan sengit dan saya akan cuba menjaringkan gol," kata Jong-hyun.

Malaysia tidak pernah tewas di tangan Korea sejak 2016 dengan enam kemenangan dan dua seri.

Namun, situasi kali ini berbeza apabila Korea dibimbing semula jurulatih yang kembali daripada persaraan, Shin Seok Kyo.

"Kami ada kempen lain yang lebih mustahak untuk diberi perhatian tetapi kami akan tetap menurunkan barisan mantap.

"Kami akan memberi fokus kepada satu persatu perlawanan," katanya.