Bekas pemain tengah skuad hoki negara, Jiwa Mohan, menyifatkan pengendali kebangsaan, Roelant Oltmans, melakukan tindakan bijak untuk tidak mementingkan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) yang berlangsung sebulan sebelum Kejohanan Final Siri Hoki Dunia.

Bukan mudah untuk mengekalkan tahap terbaik dalam jangka masa sebulan.

Oltmans membuat tindakan bijak dengan memilih Final Siri Hoki Dunia sebagai misi utama berbanding memburu kejuaraan sulung PSAS.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Belanda itu sepatutnya menggunakan khidmat pemain muda dalam PSAS, Mac depan sebagai sesi pemilihan pemain menjelang Final Siri Hoki Dunia yang juga merupakan kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Jika saya meletakkan diri ditempatnya, saya juga akan melakukan tindakan yang sama.

"PSAS perlu dijadikan medan percubaan bagi menguji beberapa pemain baru.

"Pemain yang menyerlah dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) perlu diberikan peluang untuk beraksi," katanya.

Malaysia berdepan tugas sukar sepanjang tahun tahun ini bagi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Skuad kebangsaan di ranking ke-13 dunia perlu sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir Final Siri Hoki Dunia untuk layak ke kejohanan kelayakan utama temasya itu hujung tahun ini.

Jika gagal, Malaysia perlu berada dalam kelompok 14 terbaik dunia bagi menyertai kejohanan kelayakan utama itu.

"Berdasarkan sejarah, saingan Sukan Komanwel dan Kejohanan Kelayakan Piala Dunia hanya mempunyai tempoh rehat sebulan.

"Sebagai contoh, pada 2006 kami mendapat pingat gangsa dalam Sukan Komanwel di Melbourne.

"Sebulan selepas itu, kami tersingkir awal dalam Kejohanan Kelayakan Piala Dunia.

"Bagaimanapun, ia terserah kepada Roelant untuk merencanakan strategi terbaik.

"Berdasarkan pengalaman saya, ia amat sukar untuk dihadapi," tambahnya.