MALAYSIA 2 INDIA 4

Skuad hoki India mencalar rekod kemenangan bersih skuad negara apabila menumbangkan skuad bimbingan Roelant Oltmans itu 4-2 dalam aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, sebentar tadi.


Biarpun terlebih dahulu mengatur serangan, skuad The Malaysian Hockey Tigers dipaksa bertahan sebaik India mendapat rentak untuk menguji gawang tuan rumah.

Aksi garang India itu akhirnya mencetuskan jaringan pertama perlawanan menerusi Sumir Kumar yang bijak mengelirukan penjaga gol negara, Hairi Abdul Rahman, pada minit ke-17.

Kelebihan itu hanya bertahan empat minit.

Selepas pukulan sudut penalti awal Razie Rahim ditepis keluar, Malaysia menggunakan kaedah yang sama untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi kecekapan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Namun, Sumit Kumar selagi lagi menjadi duri dalam daging buat Malaysia apabila mudah menolak masuk peluang terhidang untuk India kembali di depan, tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Malaysia terus berdepan situasi cemas sebaik suku ketiga bermula apabila India mendapat lima pukulan sudut penalti berturut-turut sebelum disempurnakan oleh Varun Kumar.

Usaha Malaysia untuk merapatkan jurang tidak menjadi kenyataan meskipun gerakan Firhan Ashari pada minit ke-57 dikira gol biarpun pada awalnya perlu diteliti pengadil kerana menghayunkan kayu hokinya terlalu tinggi.

Begitupun, kelekaan di bahagian pertahanan berselang seminit memberi ruang buat India untuk melancarkan serangan yang disudahkan Mandeep Singh.

Dengan itu, Malaysia kini menduduki tangga ketiga manakala Korea Selatan muncul pendahulu disusuli India.

"Ini sebuah perlawanan yang menarik. Pemain akan menimba banyak pengajaran dalam perlawanan seperti ini.

"Secara jujurnya, saya tidak menjangkakan kami akan memenangi kesemua perlawanan dalam kejohanan ini.

"Kami memiliki peluang untuk memenangi perlawanan ini tetapi dalam tempoh sembilan minit terakhir ketika ketinggalan 2-3, pemain perlu beraksi lebih bijak dalam detik itu.

"Mungkin kami sepatutnya menyumbat tiga gol lagi daripada melepaskan gol terakhir itu yang membunuh semangat kami," ujar Oltmans.

Keputusan lain:

JEPUN 1 KANADA 2

POLAND 2 KOREA SELATAN 3