Penjaga gol simpanan skuad hoki negara, Mohd Hairi Abdul Rahman, menjadi calon pilihan bagi menggantikan S. Kumar yang diminta berehat dua bulan ekoran kecederaan otot paha menjelang Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bulan depan.
Hairi dilihat sebagai pemain yang bakal menggantikan tempat Kumar selaku penjaga gawang utama negara selepas pemain berusia 39 tahun itu terpaksa melupakan saingan di Ipoh susulan kecederaan serius yang dialami.
Bagi Hairi, sama ada mahu atau tidak, perjuangan skuad kebangsaan tetap perlu diteruskan tanpa kelibat Kumar dan dia yakin dengan kemampuan penjaga gol lain dalam pasukan negara.
"Semua pemain simpanan perlu bersedia dengan sebarang situasi, jadi apabila kami mendapat tahu Kumar mengalami kecederaan, pemain lain perlu sedia menggalas tugas akan datang," katanya.
Dalam masa sama, dia juga menegaskan persaingan untuk merebut posisi utama dalam skuad bersama seorang lagi penjaga gol, Hafizuddin Othman, berjalan dengan baik dan dia gembira dengan proses tersebut.
"Saingan berlaku dengan baik. Kami saling memberikan motivasi untuk mendapatkan aksi terbaik buat negara."
Penulis Jemputan
Thu Feb 21 2019