Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, akur dengan kesukarannya untuk menjaringkan gol selepas dirantai pertahanan India, Birendra Lakra, sepanjang perlawanan ketiga Piala Sultan Azlan Shah, semalam.

India membuktikan reputasi mereka sebagai antara pasukan terbaik dunia apabila menumbangkan Malaysia 4-2 di Ipoh dan Faizal akur situasi itu menyukarkannya untuk menyudahkan jaringan buat skuad negara.

"Semua sedia maklum, India merupakan salah satu pasukan terbaik dunia.

"Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti, termasuk Birendra yang ditugaskan untuk mengawal saya sepanjang perlawanan.

"Benar, saya gagal menjaringkan gol dalam perlawanan ini, namun tidak mustahil untuk saya bangkit dalam perlawanan berikutnya bagi membawa Malaysia ke final," katanya.

Malaysia akan berdepan Korea Selatan dalam perlawanan keempat, malam ini.

Berdasarkan rekod sejak empat tahun lalu, Malaysia kerap mengungguli pertemuan dengan seteru Asia itu, namun Faizal enggan ia dijadikan kayu pengukur menjelang perlawanan penting tersebut.

"Kami perlu melupakannya buat masa ini.

"Dalam hoki moden, segala-galanya boleh terjadi dan pasukan yang bijak memanfaatkan peluang akan memenangi perlawanan itu," tambahnya.