Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, bangkit daripada prestasi tidak konsisten dalam Liga Hoki Malaysia untuk muncul pendahulu senarai penjaring dalam Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2019.

Faizal meledak dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Jepun 4-3 malam tadi, menyusuli hatriknya ketika mengalahkan Poland 5-1 dalam perlawanan pembukaan.

Pemain berusia 28 tahun itu memainkan watak penting ketika Malaysia melakar kemenangan, sekali gus meletakkan Malaysia di puncak pusingan robin dengan enam mata selepas dua perlawanan.

Dia sudah mengumpul lima gol, sekali gus melakar kebangkitan penting selepas meledak 11 gol daripada 14 perlawanan dalam LHM.

Ia bukti penyerang kelahiran Kelantan ini sudah bangkit dan berada di landasan tepat untuk membantu Malaysia menjuarai PSAS buat kali pertama dalam sejarah.

"Selepas tamat saingan liga, saya menyedari belum cergas sepenuhnya menerusi ujian yang dilakukan. Saya telah kembali pada tahap terbaik selepas meledak lima gol dalam saingan kali ini," katanya.

Prestasi Faizal turut mendapat pujian pengendali kedua-dua negara.

"Kami bermula baik selepas meraih dua jaringan awal sebelum Jepun mengejar saingan. Malaysia kembali menemui jalan untuk meraih kemenangan dalam suku akhir," kata ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans.

"Dia (Fizal) semakin efektif kerana memiliki peluang untuk menghasilkan jaringan. Formasi Oltmans turut menyerlahkan lagi kebolehannya," kata jurulatih Jepun, Siegfried Aikman.

Dua lagi gol negara dijaringkan penyerang, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, dan pemain tengah, Fitri Saari.

Gol Jepun disumbangkan Kazuma Murata, Kota Watanabe dan Koji Yamasaki.