Negeri Sembilan kembali bernyawa dalam cabaran Piala Malaysia 2019 selepas mengejutkan finalis musim lalu, Terengganu FC (TFC), 3-2 dalam aksi keempat Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ini merupakan aksi penentu nasib skuad Jang yang perlu menang bagi menghidupkan persaingan tatkala tiga mata akan membawa skuad Penyu ke peringkat suku akhir.

Keazaman tuan rumah terserlah apabila bekas penyerang Harimau Muda, Ferris Danial Mat Nasir, menggegar gawang TFC menerusi rembatan deras seawal minit ke-3.

Belum sempat lawan bangkit, anak buah Zaki Sheikh Ahmad garang menggandakan kelebihan, tiga minit kemudian hasil sepakan penalti penyerang import, Almir Neto.

Pelawat berjaya mendapatkan sepakan penalti susulan Khairul Izuan Rosli dikasari Osman Yusof pada minit ke-34 dan peluang itu dimanfaatkan Lee Tuck untuk kedudukan 1-2 dalam babak pertama.

TFC yang memburu gol penyamaan berhasil menerjah gawang lawan pada minit ke-54, namun jaringan Adib Aizuddin Latif dibatalkan gara-gara ofsaid.

Ketika pelawat ghairah memburu jaringan, kealpaan pertahanan mereka dihukum yang menyaksikan percubaan Neto ditampan Ilham Amirullah Razali sebelum disudahkan Igor Caneiro Luiz pada minit ke-66.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain kembali bangkit untuk merapatkan kedudukan menerusi jaringan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-90, namun ia nyata sudah terlewat untuk menafikan kemenangan 3-2 milik tuan rumah.

"Kami mendapatkan gol dalam tempoh enam minit.

"Kami buat perkara yang sama (dalam perlawanan) sebelum ini cuma tidak dapat menjaringkan gol, itulah masalahnya.

"Kali ini kami dapat menterjemahkan peluang yang ada, itulah perbezaannya berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini," kata Zaki.

Nafuzi pula berpendapat: "Mungkin ini (berpunca) daripada kelekaan kami sendiri.

"Kekalahan ini memberi peringatan kepada pemain-pemain saya."