Ketua pasukan Melaka, Shukor Adan, 'memboikot' pasukan sendiri apabila jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan, mengakui pemain berpengalaman itu enggan bermain ketika bertemu Pahang ekoran isu tunggakan gaji yang terus melanda pasukan berkenaan.

Kelibat pertahanan itu tidak kelihatan dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia ketika melayani kunjungan Pahang di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Shukor bukan sahaja tiada dalam kesebelasan utama skuad itu, malah dalam senarai 18 pemain bagi perlawanan itu.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya tatkala Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) masih gagal menyelesaikan masalah gaji pemain yang tertunggak selama dua bulan.

"Secara jujurnya, dia tidak mahu bermain, hatinya mungkin tiada dalam perlawanan ini.

"Saya menghormati dan menerima keputusannya, jadi saya menurunkan Razman Roslan.

"Saya tidak pasti dia akan bermain (dalam pertemuan kedua) tetapi saya ada seminggu untuk mempersiapkan pasukan," kata Zainal.

Ketiadaan pertahanan berusia 40 tahun itu cukup memberi kesan apabila skuad Hang Tuah itu gagal memberi tentangan kepada Tok Gajah apabila mengalami kekalahan besar 0-3.

Keputusan itu secara tidak langsung menyukarkan peluang mereka untuk layak ke separuh akhir.

Jurulatih itu, bagaimanapun, belum mahu mengibarkan bendera putih menjelang aksi timbal balik di tempat lawan, Ahad ini.

"Bagi saya, (peluang dalam) suku akhir masih ada, kami masih (boleh berjuang dalam tempoh) 90 minit.

"Bagaimanapun, kami boleh berusaha dan dalam bola sepak, macam-macam boleh terjadi dan kami akan berusaha untuk berbuat sesuatu," katanya lagi.

Kemelut itu bermula sejak Februari lalu apabila Melaka menjamin akan menyelesaikannya, namun sehingga Julai, pemain masih tidak menerima gaji.

Isu berterusan itu mendorong bekas tonggak kebangsaan berkenaan untuk memboikot dan enggan beraksi malam tadi.