Melaka United terpaksa berhempas-pulas untuk memastikan slot ke suku akhir Piala Malaysia sebelum perlawanan bertemu PDRM FA di Stadium Hang Jebat malam tadi berakhir seri 2-2.

Begitupun, PDRM, yang beraksi selaku pasukan di tangga tercorot Kumpulan D tidak melemahkan barisan kendalian E. Elavarasan itu.

Malah, dengan peluang yang masih terbuka, The Cops kemas melancarkan asakan untuk mengejutkan tuan rumah.

Namun, skuad Hang Tuah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi Luka Milunovic.

Kegembiraan itu tidak bertahan lama buat Melaka apabila PDRM menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Fakrul Aiman Sidid.

PDRM sekali lagi mengejutkan dan kali ini menerusi jaringan pada minit ke-31 yang dihasilkan Uche Agba.

Dalam kerancakan babak kedua, sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim pada minit ke-53 menjadi penyelamat buat Melaka untuk meraih tiket ke suku akhir.

"Saya tidak mahu cakap banyak, takut cakap lebih-lebih nanti kena tekan dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

"Ia keputusan yang boleh dipersoalkan daripada pengadil," kata Elavarasan.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, lega apabila pasukan bimbingannya akan meneruskan kempen musim ini dengan berkata: "Saya sudah mengingatkan pemain-pemain bahawa ini adalah satu perlawanan final bagi mereka.

"Ini kerana salah sebuah pasukan akan berehat sehingga musim depan, jadi setiap pemain ingin meneruskan usaha mereka.

"Baik Melaka mahupun PDRM, mereka bertungkus-lumus lalu menjadikan perlawanan ini sengit.

"Apapun tahniah kepada Melaka."

Dengan itu, anak buah Zainal akan sekali lagi bermain di Stadium Hang Jebat untuk bertemu Pahang bagi pertemuan pertama suku akhir, Ahad ini.

Sementara itu, pada hari yang sama, Selangor -- yang muncul juara kumpulan dengan mengatasi Felda United 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka -- pula akan berdepan Perak.