Tanpa berselindung, pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui sukar untuk menjinakkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam aksi ketiga Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Tambahan pula, melalui sentuhan jurulatih musim lalu, Benjamin Mora, Harimau Selatan cukup bernafsu meratah skuad Lang Merah 5-1 di Larkin tempoh hari selepas dimalukan MISC-MIFA 2-1 dalam aksi pembuka tirai Piala Malaysia.

"Nampak sukar kerana JDT baru saja menewaskan Kedah dengan jaringan yang cukup besar dan mereka kini kembali kepada prestasi sebenar.

"Setiap jurulatih pasti ingin melakukan yang terbaik untuk pasukan masing-masing. Namun, saya akan cuba pastikan kami tidak hilang di sebalik 90 minit permainan dan juga tidak memberi laluan mudah kepada JDT di gelanggang sendiri.

"Realitinya, kehadiran JDT kali ini agak berbeza, namun kami akan cuba sedaya-upaya mendapatkan mata bagi memburu kedudukan terbaik dalam Kumpulan C," katanya.

Ditanya rombakan yang bakal dilakukan selepas The Red Warriors (TRW) mengalami kekalahan mengejut kepada MISC-MIFA 0-2, Yusri masih yakin untuk mempertaruhkan barisan yang sama sambil mengingatkan pemainnya agar berusaha mencipta kejutan.

"Ada sedikit rombakan perlu dilakukan, terutama di bahagian pertahanan kiri, akibat kecederaan yang dialami Mohd Azwan Aripin.

"Begitu juga di bahagian pertahanan kanan yang sering menjadi sasaran lawan sepanjang musim ini.

"Saya akan cuba baiki dan harap sesiapapun yang diturunkan malam ini perlu berusaha lebih gigih dan memberikan yang terbaik," katanya.

Yusri yang juga bekas pengendali Felcra FC kurang berminat untuk menggunakan strategi bertahan dengan sekali-sekala melancarkan serangan balas bagi memerangkap pertahanan lawan kerana ia cukup berisiko.

"Saya tidak nampak sangat taktikal serangan balas mampu memberikan hasil dalam 90 minit permainan. Namun, itulah hakikatnya bagi pasukan yang tidak ada kekuatan untuk menandingi keampuhan JDT.

"Cuma, apa yg perlu saya fikirkan di sini untuk menggunakan kekuatan dan kreativiti pemain sayap (kiri dan kanan) yang lebih laju bagi memerangkap benteng lawan.

"Paling penting, pemain yakin dengan kemampuan diri dan kurangkan kesilapan di atas padang, Insya-Allah kejayaan akan datang," katanya.

Untuk rekod, TRW berada di tangga ketiga Kumpulan C dengan satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan dengan Kedah di Alor Star manakala JDT di tempat kedua dengan tiga mata.