Tiada jaminan khusus berikutan isu gaji pemain bola sepak Melaka yang tertunggak dua bulan selain tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Januari 2019.

Walaupun cemerlang memastikan Melaka terus melangkah dalam saingan Piala Malaysia, belum tentu ada khabar gembira melibatkan pembayaran gaji pasukan itu dalam masa terdekat.

Hanya harapan yang diberikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Yusof Mahadi, agar usaha pembayaran dipercepatkan buat pemain daripada pihak pengurusan.

Tunggakan gaji selama dua bulan bermula Julai dan Ogos lalu selain tiada caruman KWSP sejak Januari 2019.

"Saya berharap dengan kelayakan Melaka ke suku akhir mempercepatkan usaha pihak penaja untuk menyalurkan dana bagi menyelesaikan gaji yang sudah tertunggak," kata Yusoff.

Difahamkan, luahan pemain telahpun disuarakan sehingga ada yang terpaksa meminjam duit untuk membayar hutang, namun masih belum ada sebarang tindakan drastik daripada pihak pengurusan.

Terbaru, pemain berpengalaman, Shukor Adan, turut meluahkan kekecewaannya di laman Instagram di atas kegagalan pihak pengurusan melunaskan pembayaran gaji dalam tempoh masa yang sepatutnya.