"Saya masih ada dua pilihan lain."

Itu kata jurulatih penjaga gol Terengganu, Yazid Yassin, yang enggan dilanda keresahan di sebalik kehilangan Allahyarham Suffian Abdul Rahman biarpun terasa dengan pemergian pemain berpengalaman itu.

Terengganu menerima tamparan hebat apabila Suffian meninggalkan pasukan itu buat selamanya setelah menghembuskan nafas terakhir di Kuala Terengganu, Sabtu lalu selepas mengalami serangan jantung.

Pemergiannya dirasai Yazid yang pernah beraksi bersama Allahyarham ketika mewakili Negeri Sembilan dalam kariernya sebagai pemain sebelum ini.

Namun, dia enggan patah semangat tetapi percaya terhadap kemampuan penjaga gol sedia ada untuk menggalas misi penting pasukan dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya terpaksa membuat satu pilihan yang tepat untuk menggantikan Allahyarham yang sebelum ini bertindak selaku penjaga gol utama. Saya juga mengharapkan sesiapa sahaja yang diturunkan boleh menggantikan tempat Allahyarham dan beraksi dengan baik," katanya.

Selain Wan Azraie Wan Teh sebagai antara penjaga gol berpengalaman dalam Liga Malaysia, Yazid juga memiliki Ilham Amirullah Razali sebagai pengganti Allahyarham.

Terengganu akan meneruskan cabaran dalam Kumpulan A, Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan malam ini di tempat lawan dan mereka memerlukan kemenangan untuk mengesahkan kemaraan awal ke suku akhir.

"Saya mempunyai dua pilihan, iaitu Wan Azraie dan Ilham Amirullah. Bagi saya, kedua-dua pemain ini tiada sebarang masalah dan berada dalam keadaan terbaik. Saya harap ia akan berterusan."