Pemain tengah Felda United, Wan Zack Haikal Wan Noor, semakin pulih daripada kecederaan lutut kanan tetapi terkilan apabila belum pasti turun ke padang dalam pertemuan suku akhir Piala Malaysia menentang Terengganu.

Wan Zack sudah sebulan tersisih daripada kesebelasan utama Felda, termasuk sebilangan besar aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Perkembangan positif buat Wan Zack sudah pasti mengenai proses pemulihan yang lancar dan bakal kembali beraksi bersama pasukan.

"Kecederaan saya semakin pulih. Saya sedang berusaha untuk mendapatkan semula kecergasan yang terbaik. Untuk saingan suku akhir Piala Malaysia, setiap pemain mahu beraksi, termasuk diri saya. Saya berharap dapat membuat penampilan dalam suku akhir kedua," kata Wan Zack.

Felda akan menanti kunjungan Terengganu FC (TFC) dalam keadaan mereka perlu bangkit daripada aspek piskologi.

Ini susulan kekalahan 6-1 di tangan Melaka dalam aksi penutup peringkat kumpulan, 15 September lalu.

"Kekalahan itu memberikan tamparan buat Felda tetapi kami harus menerimanya dan berusaha untuk bangkit dalam perlawanan akan datang."