Itu luahan hati jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, terhadap pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam, ketika mengadili pertemuan menentang Melaka United dalam aksi Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, semalam.

Wan Mustaffa menyifatkan Khirulazuan membuat keputusan yang tidak tepat apabila sewenang-wenangnya memberikan sepakan percuma kepada tuan rumah pada minit ke-63 selepas mendakwa bola terkena tangan pemain UiTM, Sharizan Shukor.

Situasi bola mati tersebut digunakan sebaik-baiknya oleh pemain import pasukan Melaka , Felipe Almeida Souza, untuk menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pasukan tuan rumah dalam pertemuan itu.

"(Ia) seolah-olah membuli dan kami selalu kena.

"Sebelum ini sudah dua kali terjadi dan kami telah melakukan bantahan terhadap dua pengadil dan mereka telah digantung.

"Jadi selepas ini kami akan melakukan bantahan secara formal dan menghantar semua bukti, termasuk rakaman video," katanya.

UiTM sebelum ini sudah berdepan dengan situasi sama ketika pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) serta Perlis dalam aksi Liga Perdana dan aduan mereka telah pun disalurkan kepada Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, Felipe tidak menganggap dua gol yang dijaringkan ketika menentang UiTM sesuatu yang berpandukan nasib, sebaliknya ia hasil latihan gigihnya yang berterusan.

Pemain import Melaka itu juga berharap mampu menggunakan kepakarannya dalam situasi bola mati bagi menghasilkan gol dalam perlawanan yang akan datang.

“Saya amat gembira dengan keputusan pada malam ini, ia adalah usaha satu pasukan.

“Sepakan percuma yang diambil pada malam ini adalah hasil usaha keras ketika sesi latihan dan saya berterima kasih kepada jurulatih atas kepercayaan yang diberi,” ujar Felipe.