VAR bukan penyelesaian tepat -- FAM

Oleh Staff Writer 6 November 2019 606
VAR bukan penyelesaian tepat -- FAM
Sistem video bantuan pengadil (VAR) bukan penyelesaian kepada isu mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) yang mencetuskan beberapa kontroversi ketika ini. 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, berasakan pendekatan yang lebih baik adalah untuk meningkatkan mutu dan kepakaran pengadil tempatan.

Faktor kos untuk melaksanakan VAR dalam saingan Liga-M menjadi kekangan utama kepada inisiatif yang sudah mula diguna pakai di pentas tertinggi dunia itu.

Malah, teknologi garisan gol (GLT) yang mampu menentukan jaringan kontroversi dalam saingan Piala Malaysia musim ini seperti membabitkan jaringan Baddrol Bakhtiar dalam pertembungan separuh akhir di antara Kedah dan Pahang serta final membabitkan gol sepakan percuma Safawi Rasid ketika Johor Darul Ta'zim (JDT)  membenam Kedah pula menelan belanja lebih besar daripada sistem VAR itu sendiri.

VAR juga sudah terbukti bukan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan isu berbangkit di padang.

"Untuk Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ataupun pasukan-pasukan sendiri menggunakan VAR memerlukan masa yang lebih lama untuk mencari peruntukannya.

"Dalam masa yang sama, pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) sendiri juga belum mahu menggunakannya.

'VAR adalah satu subjek tular yang sedang dibincangkan tetapi (persoalannya) adakah ia satu penyelesaian.

"Apa yang penting adalah kami mampu meningkatkan (kualiti) pengadil sendiri. 

"Tahun depan bakal menjadi tahun yang penting buat semua pihak dan kami merancang untuk memperbaiki mutu dan kuantiti pengadil," katanya. 

Sementara itu, badan induk itu menerima suntikan dana RM1 juta daripada Cuckoo bagi memperkasakan program kebangsaan, terutama Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) bagi musim 2020. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen