Ujian besar buat perwatakan pemain PKNP FC apabila turun menentang gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam ini.

Begitu pandangan ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, mengenai pertemuan kali kedua di antara pasukannya dengan skuad Harimau Selatan itu dalam Kumpulan B, Piala Malaysia 2019.

Kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam pertemuan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Jumaat lalu, dan beliau berharap ia mampu diulangi anak buahnya.

"Kami semua sedia maklum keperkasaan JDT. Mereka semestinya akan meningkatkan persembahan dan mengamalkan corak serangan untuk mencari mata penuh di gelanggang sendiri.

"Jika menang, mereka layak ke suku akhir malam ini," katanya.

Oleh itu, Abu Bakar berkata benteng PKNP menghadapi ujian getir kerana akan menerima asakan bertalu-talu.

"Pemain perlu elak melakukan kesilapan mudah yang akan menyebabkan pasukan terhukum kerana lawan memiliki jentera serangan berbisa," katanya.

Menurutnya, kelab yang berpangkalan di Perak itu datang dengan misi untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata walaupun tahu sukar untuk mencuri mata di gelanggang lawan.

"Memang berat tetapi bukan mustahil, cuma saya berharap pemain PKNP tenang dan tidak melakukan kesilapan serta memberi ruang kepada lawan.

"Saya yakin pemain-pemain akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan," katanya.