Pengendali skuad UiTM FC, Ismail Zakaria, memburu kemenangan sulung dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia menentang PJ City di laman sendiri Ahad ini.

Selepas tiga perlawanan, UiTM masih gagal meraih sebarang mata dalam saingan peringkat kumpulan, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga tercorot.

Bagaimanapun, Ismail belum mengibarkan bendera putih dan bakal turun dengan taktikal baru untuk bangkit dalam baki saingan Piala Malaysia.

"Saya merancang untuk bangkit dalam perlawanan berdepan PJ City kali ini. Terdapat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan sebelum ini, sudah pulih dan bakal diturunkan dalam perlawanan ini," katanya.

Di samping itu, Ismail menjelaskan dia tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya, apatah lagi ini kali pertama skuad The Lion Troops beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.

UiTM merekodkan kekalahan ke-10 berturut-turut musim ini selepas tewas kepada PJ City di Petaling Jaya, Ahad lalu.

"Tujuan utama kami adalah memberikan pengalaman buat mereka berdepan lawan yang lebih berkualiti dan saya sangat berbangga dengan prestasi mereka. Kekurangan daripada segi sentuhan penyudah masih perlu dipertingkatkan lagi."