Ketua pasukan Terengganu, Lee Tuck, menganggap kelebihan Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah seimbang, malah hasrat skuad Peteh untuk menakluki Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini bukan satu angan-angan kosong.

Di sebalik situasi ketika ini yang gagal memihak kepada Terengganu, pemain tengah berkenaan tidak menganggap kelebihan satu jaringan di tempat lawan yang dimiliki seteru Liga Super itu sebagai halangan besar.

Malah, pemain kelahiran England tersebut meluahkan keyakinan tinggi bahawa pasukan bimbingan Nafuzi Zain itu memiliki peluang besar untuk mencetak kejutan ke atas JDT walaupun beraksi di laman mereka.

"Mereka berdepan tekanan.

"Saya menganggap semangat dalam pasukan Terengganu dalam keadaan yang amat baik ketika ini. Kami semua cukup tenang dan itu satu perkara yang baik.

"Kami tidak seharusnya terlalu khuatir dengan aspek bertahan tetapi sudah tentu kami perlu lebih berdisiplin tentang soal itu.

"Kami juga perlu turun dengan keyakinan bahawa kami mampu meledak banyak gol," katanya.

Terengganu bakal turun dengan berlapang dada kerana tiada tekanan yang besar sambil melabelkan diri mereka sebagai 'underdog'.

Namun, itu tidak bermaksud kehadiran Sang Penyu bakal memberi laluan mudah kepada Harimau Selatan. Malah, misi mereka adalah untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Kami memburu permainan terbaik manakala dalam 12 perlawanan terakhir, kami sudah buktikan mampu melakukannya di tempat lawan.

"Saya memiliki keyakinan terhadap pasukan sendiri.

"Kami perlu turun tanpa menghiraukan kelebihan satu gol di tempat lawan yang JDT miliki," katanya lagi.