Pertahanan import Pahang, Herold Goulon, menganggap tuah menyebelahinya selepas sekali lagi melakukan jaringan unik, kali ini dalam pertemuan menentang Pulau Pinang dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2019, semalam.

Goulon mencetus sensasi menerusi jaringan menakjubkan ketika berdepan Perak dalam separuh akhir Piala FA di Stadium Darulmakmur, Jun lalu.

Pertahanan kelahiran Perancis itu semalam sekali lagi melakukan magisnya ketika menentang Pulau Pinang dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Bandaraya.

Menerusi larian solo dari tengah, Goulon bijak memperdayakan lima pemain lawan sebelum menewaskan Zamir Selamat untuk meraih jaringan.

"Saya menjaringkan gol dan ia amat penting bagi memastikan kemenangan pasukan dan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia," katanya.

Merekodkan 11 gol membabitkan semua kejohanan setakat ini, bekas pertahanan Blackburn Rovers itu pantas mengalihkan tumpuannya kepada cabaran berdepan Melaka dalam suku akhir.

Mengakui lawan mampu memberi cabaran kuat, Goulon mendedahkan impiannya cukup tinggi untuk memastikan skuad Tok Gajah ke pentas final.

"Saya memberikan tumpuan dalam memastikan Pahang melangkah ke final. Perlawanan akhir itu memerlukan tuah dan pasukan yang lebih cemerlang akan muncul juara. Gagal ke final tahun ini akan mengecewakan seluruh pasukan Pahang."