Peminat bola sepak Perak berpeluang melihat trofi Piala Malaysia kerana ia akan dipamerkan di ruang legar Pasaraya Besar Mydin Meru Raya, hujung minggu ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin, berkata langkah mempamer piala itu bagi memenuhi permintaan penyokong yang tidak berkesempatan meraikannya di Kuala Kangsar, minggu lalu.

“Kami amat berbangga kerana dapat membawa trofi ini untuk dipamerkan kepada peminat-peminat sukan bola sepak di negeri ini.

“Peminat bola boleh menatap dan bergambar di sisi trofi keagungan bola sepak negara yang berusia 95 tahun itu dan menjadi rebutan pasukan bola sepak tanah air,” katanya.

Abd Aziz menambah pameran itu juga bakal dihadiri pemain-pemain pasukan The Bos Gaurus yang akan menemui peminat pasukan Seladang.

“Pameran ini juga merupakan satu penghormatan, sekali gus sebagai mercu tanda kebangkitan dan perkembangan bola sepak negeri ini.

“Kami harap pameran ini juga akan memberi suntikan semangat kepada peminat untuk terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan negeri pada musim akan datang,” katanya lagi.

Walaupun berlaku kelewatan dalam meraikan trofi yang dimenangi semula Perak selepas 18 tahun, Aziz berkata ia bukan disengajakan.

"PAFA memohon maaf di atas kelewatan yang berlaku tetapi ia bukan disengajakan, sebaliknya berlaku atas sebab-sebab tidak boleh dielakkan," katanya.

Beliau berharap kelewatan itu tidak dipersoalkan serta dijadikan isu kerana yang penting ialah perasaan bangga terhadap kejayaan Perak itu.