Tok Gajah pandang mudah?

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui sedia mempertaruhkan 'skuad simpanan' dalam perlawanan timbal balik kedua Piala Malaysia bertemu Melaka di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam esok.

Pahang antara pasukan yang selangkah untuk layak ke separuh akhir susulan kemenangan selesa 3-0 yang dirakam di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu.

Bagaimanapun, untuk melengkapkan saingan suku akhir malam esok, Tok Gajah bakal beraksi tempang berikutan beberapa masalah yang menimpa tonggak utama seperti Norshahrul Idlan Tahala, Nor Azam Azih dan Muslim Ahmad.

Sementara itu, pemain import ASEAN, Safuwan Baharudin, pula perlu pulang ke Singapura atas komitmen peribadi.

"Datuk kepada Safuwan meninggal dunia dan dia pulang ke Singapura semalam tetapi saya mendapat maklumat dia akan kembali juga (ke Kuantan sempena bertemu Melaka).

"Nor Azam pula terpaksa diketepikan kerana kecederaan buku lali tetapi saya percaya sesiapa jua (yang akan diturunkan) boleh bersaing dan menampung ketiadaan tonggak utama," kata jurulatih itu di venue perlawanan, petang tadi.