"Saya tidak terkilan.".Itu luahan pertahanan Pahang, Muslim Ahmad, biarpun mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim ini, namun masih belum terpilih menyertai skuad kebangsaan.

Skuad Tok Gajah merupakan satu-satunya pasukan yang tidak menggunakan pemain import di bahagian pertahanan hampir sepanjang musim ini.

Situasi itu bukan satu masalah kerana Muslim beraksi cemerlang untuk mengemudi benteng apabila muncul dengan rekod sebagai pasukan kedua bolos paling sedikit selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Super.

Bagaimanapun, rezeki tidak memihak Muslim yang masih gagal memikat hati pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, untuk disenaraikan.

"Terpulang, setiap jurulatih mempunyai pandangan masing-masing.

"Sebagai pemain dan peluang beraksi untuk menyarung jersi Malaysia, siapa yang tidak mahu berbakti kepada negara.

"Kalau dipanggil, saya bersedia untuk menyahutnya," katanya.

Dalam masa sama, Muslim menghamburkan penghargaan kepada jurulatih, Dollah Salleh, yang bertanggungjawab memulihkan prestasinya.

Berada di tahap terendah dalam kariernya pada satu ketika, Muslim gembira dengan situasi terkininya di Pahang.

"Dollah kerap tekankan disiplin.

"Arahannya di atas padang perlu dilaksanakan dengan tepat," katanya lagi.