Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, optimis skuad kendaliannya mampu mencipta kejutan dalam aksi suku akhir pertama menentang juara bertahan Piala Malaysia, Perak, di Stadium Perak, Ahad ini.

The Red Giants menepati ramalan untuk muncul juara Kumpulan D dengan meraih kemenangan 2-0 ke atas Felda United dalam aksi terakhir peringkat kumpulan kelmarin.

Bakal menghadapi cabaran The Bos Gaurus -- yang mendapat jolokan pakar seri dengan rekod sembilan kali dalam Liga Super -- di peringkat suku akhir, bekas pengendali kebangsaan itu kekal optimis akan kemampuan pemainnya untuk melakar kejutan dengan anak buahnya bakal berkunjung ke laman lawan terlebih dahulu.

"Perak banyak mencatatkan keputusan seri dalam Liga Super, ini bermakna susah untuk mengalahkan mereka terutama di Ipoh.

"Saya menjangkakan cabaran yang agak sukar tetapi saya yakin dengan pemain-pemain sendiri selepas menunjukkan prestasi yang baik ketika menentang Felda," katanya dalam sesi latihan di Shah Alam, pagi tadi.

Bagaimanapun, juara 33 kali itu berdepan cabaran sukar ekoran ketiadaan beberapa tonggak utama seperti pemain tengah kelahiran Brazil, Sandro da Silva dan Syazwan Zainon, yang berberkemungkinan terlepas aksi itu.

Untuk rekod, kempen Liga Super musim ini menyaksikan Selangor belum berkesempatan untuk meraih kemenangan ke atas skuad kendalian Mehmet Durakovic itu apabila sekadar mencatat satu keputusan seri dan satu kekalahan.