Felda United menghidupkan peluang untuk meneruskan cabaran dalam kempen Piala Malaysia 2019 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Melaka United 3-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Selepas tewas 1-3 kepada lawan yang sama di laman sendiri minggu lalu, Felda tiada pilihan selain memenangi perlawanan itu bagi menghidupkan peluang dalam Kumpulan D.

Aksi pada awal permainan sedikit hambar apabila tiada percubaan bahaya terhasil sehinggalah pada minit ke-35, yang menyaksikan sepakan percuma Jasazrin Jamaluddin hampir meletakkan The Fighters di depan.

Namun, seminit kemudian, kelekaan anak buah Nidzam Jamil itu dihukum tuan rumah susulan hantaran S. Deevan Raj disudahkan Luka Milunovic.

Menuju ke bilik persalinan, pelawat mencuri gol apabila kapten, Hadin Azman, bijak memperdayakan pertahanan lawan sebelum percubaannya menerjah jaring pada minit ke-45.

Babak kedua menyaksikan giliran Felda memimpin perlawanan apabila hantaran S. Chanturu disempurnakan Daniel Amier Norhisham pada minit ke-69.

Berselang tiga minit, mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan Khairul Amri Mohammad Kamal dikasari Razman Roslan dan peluang itu dimanfaatkan Hadin untuk memastikan tiga mata berharga buat Felda.

"(Nasib) kami agak malang sedikit kerana pada awal permainan, Patrick Reichelt terpaksa dikeluarkan (dan ia menyebabkan) perancangan kami berubah," jelas penolong jurulatih Melaka, Nidzam Adha Yusof.

Sementara itu, jurulatih Felda, Nidzam, pula berpandangan: "Fokus pemain saya lebih baik. Ini kerana sepanjang saya di sini, Felda pernah kalah dengan enam gol, (ketika itu) kami mendahului tiga gol tetapi kalah 3-4 di stadium ini.

"Oleh itu, dengan kemenangan ini, secara peribadinya kami gembira."