Jurulatih sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus, mengambil langkah mengubah strategi untuk memastikan kemenangan menentang Selangor United di Stadium KLFA, Cheras, malam ini dalam memburu mata pertama Piala Cabaran 2019.

Kekalahan skuad The City Boys kepada Terengganu II dalam aksi pertama memaksa mereka untuk bangkit lebih fokus bagi merebut kedudukan selesa dalam Kumpulan B.

Roslee mengakui hakikat pasukannya yang terpaksa beraksi dalam Liga Perdana musim depan menjejaskan semangat anak buahnya, namun dia bertekad untuk memastikan kebangkitan dalam aksi seterusnya.

"Kegagalan dalam perlawanan terdahulu disebabkan masalah tumpuan selain kesilapan mudah yang menyebabkan kami dihukum.

"Mungkin akan ada perubahan daripada segi kesebelasan utama," katanya.

Dalam pada itu, Roslee tidak mengambil mudah cabaran yang bakal diberikan Selangor United selepas masing-masing perlu bekerja keras meraih kemenangan.

Ketika ini, Kuala Lumpur di kedudukan ketiga kumpulan dengan perbezaan tiga mata di bawah Terengganu II dan UKM yang berkongsi mata.

"Selangor United sebuah pasukan yang mampu beri cabaran, oleh itu kami perlu lebih bersedia," katanya lagi.