"Maaf, keputusan tidak menyebelahi kami," luah ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, kepada penyokong susulan kekalahan 2-3 kepada Kedah dalam aksi Piala Malaysia malam tadi.

Kira-kira 10,200 peminat yang hadir memberikan sokongan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah mengharapkan TFC layak ke suku akhir lebih awal hanya untuk dikecewakan gol daripada Baddrol Bakhtiar pada minit ke-86.

Nafuzi turut mengakui kekurangan daripada aspek fizikal menyumbang kepada kekalahan kepada juara Piala FA itu walaupun dua kali bangkit menyamakan kedudukan.

Bermula dengan sepakan penalti Lee Tuck pada minit ke-33 yang memadamkan tandukan awal penyerang Kedah, Jonatan Bauman, TFC sekali lagi bangkit selepas Edgar Bernhardt (m-37) meletakkan pelawat 2-1 di depan.

Pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff, bijak menyudahkan sepakan percuma Tuck ketika permainan berusia sejam untuk kedua-dua pasukan menuju hujung permainan dengan keputusan seri.

Asakan Kedah pada minit ke-86 membuahkan hasil selepas Baddrol menyudahkan peluang dari jarak dekat hasil percubaan awal Renan Alves dan David Rowley yang ditepis penjaga gol TFC, Wan Muhd Azraei Wan Teh.

"Kedah diperkuatkan tonggak import dan tempatan yang memiliki ketinggian melebihi pemain saya dan kesempatan itu diambil mereka.

"Dua gol mereka juga berpunca daripada situasi bola mati," katanya lagi.

Pengendali sementara itu, begitupun, optimis peluang ke suku akhir tetap berpihak kepada TFC menjelang pertemuan terakhir peringkat kumpulan dengan PKNS FC, minggu depan.

Menurutnya, pasukan di tangga ketiga, Negeri Sembilan, memerlukan kemenangan tujuh gol ke atas Kedah sekiranya TFC kecundang di Shah Alam.

"Apapun, saya tidak mahu bergantung harap kepada keputusan pasukan lain.

"TFC memerlukan kemenangan kerana kami mahu menjuarai kumpulan dan itu sahaja menjadi matlamat kami," tegasnya.