Finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu, bertekad untuk mengutip mata penuh menjelang pertemuan dengan PKNS malam ini meskipun skuad Peteh itu hanya memerlukan seri untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.

Persaingan dalam Kumpulan A kini tertumpu kepada Terengganu dan Negeri Sembilan.

Di atas kertas, anak buah Nafuzi Zain itu mempunyai kelebihan memandangkan seri memastikan mereka ke pusingan seterusnya sementara skuad Jang memerlukan keajaiban menang dengan enam gol di Stadium Darul Aman sambil mengharapkan Terengganu tumbang di Shah Alam.

Bagaimanapun, itu bukan matlamat Nafuzi yang dahagakan kemenangan setelah dua perlawanan ditempuhi mereka sebelum ini berakhir dengan kekalahan.

Justeru, misi tiga mata dilihat penting untuk mengembalikan semula semangat pemain.

"Kami mahukan kemenangan sekali gus layak ke suku akhir. Dua kekalahan sebelum ini memaksa kami untuk bangkit mendapatkan semangat untuk beraksi," kata Nafuzi.

Terengganu bakal mengharungi perlawanan dengan PKNS tanpa tonggak tengah, Sharien Sapien, yang cedera sementara Muhammad Hafizal Mohammad menjalani penggantungan.

"Kami menyedari PKNS memiliki kualiti tersendiri. Mereka turun tanpa sebarang tekanan dan mampu menghadirkan masalah kepada kami."