Tambadau mahu akhiri musim dengan kemenangan

Oleh Willie Jude  18 September 2019
Tambadau mahu akhiri musim dengan kemenangan
Walaupun pintu untuk layak ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia sudah pun tertutup, pasukan Sabah tetap bertekad untuk mengakhiri musim ini dengan kemenangan, lebih-lebih lagi bertemu Perak iaitu pasukan yang sering mengecewakan mereka sejak musim lalu.

Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata, mereka mempunyai misi tersendiri apabila berdepan The Bos Gaurus di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini, termasuk membalas dendam terhadap kekalahan mereka dalam separuh akhir musim lalu serta kekalahan terbaru mereka kepada skuad kendalian Mehmet Durakovic itu dalam aksi pertama saingan musim ini.

"Walaupun sebarang keputusan tidak memberi sebarang makna, apa yang penting kami harus jaga kredibiliti kita sebagai pasukan juara Liga Perdana selain maruah kita kerana kita juga mahu membalas dendam terhadap kekalahan kepada Perak. 

"Tahun lalu di separuh akhir (Piala Malaysia), kita kalah kepada mereka (Perak) dan seri pada pusingan kedua manakala tahun ini juga kita kalah dalam aksi pertama saingan," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu, semalam. 

Sementara itu, Jelius berkata beliau mungkin akan menurunkan penyerang import mereka, Aguinaldo Mendes Veiga sebagai kesebelasan utama selepas pemain itu hanya bermula sebagai pemain simpanan ketika skuad Tambadau menewaskan Pulau Pinang 2-0 di Likas, Sabtu lalu.

Aguinaldo sebelum ini belum cergas sepenuhnya kerana baru pulih daripada kecederaan dan terpaksa bertindak sebagai pemain gantian, namun, kemasukannya di babak kedua ketika aksi bertemu Harimau Kumbang berjaya mengubah corak permainan Sabah sehingga mereka berjaya memenangi perlawanan itu.

"Tidak banyak perubahan, hanya antara Rahman (Shah Marajeh) atau Aguinaldo namun apa yang pasti kita mahu memburu kemenangan," katanya. 

Sabah yang juga juara Liga Perdana musim ini kini berada di tangga tercorot kumpulan C selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan, sekali gus peluang mereka untuk layak ke suku akhir sudah pun tertutup selepas Perak mencatat kemenangan terhadap Pahang di Ipoh, Sabtu lalu.

Tentang Penulis

Willie Jude 

Komen