JOHOR DARUL TA'ZIM 2 SELANGOR 1

Selangor berjaya mencuri bekalan satu gol ke Shah Alam walaupun tewas 2-1 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.


Jaringan dalam setiap babak oleh Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez membolehkan JDT mencipta kemenangan -- dalam aksi terakhir di stadium keramat itu sebelum berpindah ke gelanggang baru musim depan -- sambil Ifedayo Olusegun memberikan harapan buat peminat skuad Merah Kuning itu menjelang pertemuan kedua, Sabtu depan.

Tanpa kapten, Amri Yahyah, serta tonggak tengah, Endrick Dos Santos, dalam kesebelasan utama, Selangor kendalian B. Sathianathan itu dilihat lebih banyak menyerap asakan tuan rumah berbanding cuba menembusi benteng lawan.

Penyerang kebangsaan, Syafiq, menjadi pertaruhan juara Liga Super, JDT, tatkala ayam tambatan, Diogo Santo, tidak dapat diturunkan akibat kecederaan dan pemain kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang itu mencuri tumpuan di Larkin.

Selepas melepaskan dua peluang keemasan, Syafiq bijak melepasi perangkap ofsaid dan walaupun percubaan pertamanya terkena kaki penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, dia tidak melakukan kesilapan dalam sepakan susulannya untuk membuka tirai jaringan.

Kegembiraan JDT hanya bertahan dua minit apabila Ifedayo tenang menyambut hantaran pendek Sandro Da Silva sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang memerangkap Farizal Marlias bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Kesilapan ketika mengawal bola kerap dilakukan Selangor sambil K. Sarkunan dilihat bergelut untuk mengemudi barisan tengah tetapi Fandi Othman mencuri tumpuan selepas setengah jam permainan susulan insiden bertegang urat dengan Safawi Rasid di penjuru padang.

Percaturan pengendali JDT, Benjamin Mora, meletakkan Velazquez di belakang gandingan Safawi, Gonzalo Cabrera dan Syafiq memberikan pulangan tiga minit selepas rehat apabila pemain kelahiran Argentina itu meledakkan rembatan dari luar kotak penalti mengatasi Khairul Azhan.

Kedudukan pasti terikat 2-2 sekiranya tendangan Ifedayo dan tindakan susulan Khyril Muhymeen Zambri tidak singgah ke tiang gol walaupun Farizal sudah tertewas sambil kemenangan menyerikan aksi terakhir JDT di Larkin.