Penyerang import Terengganu, Tchetche Kipre, mengakui jaringan awal permainan mampu memberi motivasi luar biasa buat pasukannya yang mahu mencuri slot separuh akhir Piala Malaysia.

Ketinggalan agregat 1-0, Terengganu memerlukan dua gol serta bantuan barisan pertahanan bagi memastikan tidak dibolosi ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Objektif itu kelihatan sukar, namun tidak mustahil bagi penyerang kelahiran Ivory Coast itu.

Justeru, pemain berusia 31 itu tidak teragak-agak untuk meledak di Larkin selepas gagal mencetak sebarang jaringan di Kuala Terengganu dalam aksi pusingan pertama lalu.

"Kami memerlukan dua jaringan di Larkin. Ia bukan tugas mudah, namun kami mampu melakukan untuk sekali lagi kembali ke final Piala Malaysia," katanya.

Dalam masa sama, harapan jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, bukan hanya melibatkan pemain yang sudah memiliki nama tetapi turut melibatkan pemain tengah, Sharin Sapien.

Pemain berusia 25 tahun itu berjaya memancing perhatian Nafuzi bermula dengan perlawanan pertama Terengganu di bawah kendalian jurulatih kelahiran Kelantan itu sebaik jurulatih terdahulu, Irfan Bakti Abu Salim, mengumumkan meletakkan jawatan.

"Kami datang ke sini mahukan kemenangan. Terengganu menyedari kemampuan JDT dan kami telah membuat persiapan dengan rapi," kata Sharin.